Sejarah Islam : Sultan Muhammad Al-Fateh
Pesanan buat pembaca :
Jika ada kesilapan dimana2 artikel yang disiarkan di dalam blog ini.
mohon feedback untuk kefahaman dan pembelajaran bersama.
Tujuan artikel ini dikongsi hanya lah untuk pengetahuan bersama dan dalam masa yang sama meningkatkan ilmu pengetahuan yang sedia ada.
GAMBAR SEKADAR HIASAN |
Hadis Mengenai Sultan Muhammad Al-Fateh
Sabda Rasulullah SAW ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq :
"... Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam.
Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera
..."
(Hadis Riwayat Imam Ahmad)
Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Konstantinopel untuk mendapatkan
penghormatan yang dijanjikan oleh Allah SWT dalam hadis tersebut. Walau
bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di
antaranya, lima kempen di zaman Kerajaan Umaiyyah, satu kempen di zaman
Kerajaan Abbasiyyah dan dua kempen di zaman Kerajaan Uthmaniyyah.
Dalam
salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umaiyyah, seorang sahabat
Nabi SAW iaitu Abu Ayyub Al-Ansary RA telah syahid dan dimakamkan di
bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri.
Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau
menjawab, "Aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja
yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan
Konstantinopel". Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi SAW.
Hadis
Nabi SAW ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan
Muhammad Al-Fateh, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dengan 150,000
orang tenteranya.
Siapakah Sultan Muhammad Al-Fateh? Apakah
kehebatan baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut "sebaik-baik
raja" dan "sebaik-baik tentera" dalam hadis tersebut?
Biodata Ringkas
Baginda
Sultan Muhammad Al-Fateh dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di
Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah
hidup baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum
kelahirannya kerana telah disebut sebagai "sebaik-baik raja" di dalam
Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al-Fateh
kerana kejayaannya membebaskan Konstantinopel.
Baginda menaiki
takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 –
1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera
agung yang memimpin sendiri 25 kempen ketenteraan. Baginda mangkat pada 3
Mei 1481 akibat sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat baginda
mangkat diracun.
Pendidikan
Baginda menerima pendidikan
yang menyeluruh dan bersepadu. Dalam bidang keagamaan, gurunya adalah
Syeikh Shamsuddin Al-Wali dikatakan daripada keturunan Sayyidina Abu
Bakar As-Siddiq RA. Dalam ilmu peperangan pula, baginda diajar tentang
taktik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima
tentera.
Dalam bidang akademik pula, baginda adalah seorang
cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam tujuh bahasa
iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Dalam
bidang ilmu pemerintahan pula, ayahandanya Sultan Murad II, dengan
tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik
baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam
usia semuda ini baginda telah matang menangani tipu helah musuh.
Keperibadian
Baginda
sentiasa bersifat tawaduk. Semasa membina Benteng Rumeli Hissari,
baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga
ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja. Baginda
seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat
menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamadan selalu
berbincang dengan mereka mengenai permasalahan negara.
Persiapan Awal Membebaskan Konstantinopel
Selama
2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota
Kostantinopel setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya.
Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu
serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang
strategi yang sesuai untuk digunakan.
Baginda mengarahkan dibina
peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom
seberat 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing
sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana
Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan
Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh
Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal
yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak
Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Konstantinopel apabila
diserang nanti.
Baginda membawa bersama para ulama dan pakar
motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik
sahaja menghampiri dinding kubu Kota Konstantinopel, baginda
mengarahkan dilaungkan azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine
gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin
mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.
Melancarkan Seragan ke atas Konstantinopel
Setelah
segala persiapan lengkap diatur, baginda menghantar utusan kepada Raja
Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan Raaja Bizantin menyerah
mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan
dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah
dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.
Menara Bergerak
Seterusnya
Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari
dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin
berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding
tengah kubu mereka.
Bantuan Dari Pope Vatican
Pope di Rome
menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan
tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk
menghalang kemaraan armada Uthmaniyyah. Ini menaikkan semula semangat
tentera Bizantin.
Melancarkan Kapal Perang dari Puncak Gunung
Kegembiraan
mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran
72 buah kapal perang Uthmaniyyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini
adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung
dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik
ini diakui sebagai antara taktik peperangan (warfare strategy) yang
terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu
kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.
Kapal-kapal
perang tentera Bizantin habis terbakar dek bedilan meriam Uthmaniyyah.
Pertahanan Bizantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan
pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta
mengingatkan mereka kepada hadis Rasulullah SAW dan bersama-sama berdoa
kepada Allah SWT.
Memanjat dan Melastik Dinding Kota
Keesokan
paginya tentera Uthmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan
tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit
pihak Bizantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan
tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengah hari.
Karisma Seorang Pemimpin
Pengepungan
selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan
rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang
genting ini baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, "Wahai
tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu
syahid ikutlah aku".
Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah
seorang tentera baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka
dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di
situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh.
Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan
pertahanan Bizantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.
Penawanan Constantinople
Pada
29 Mei 1453, Kota Konstantinopel jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar
namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St. Sophies
ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawaduknya melumurkan
tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah
Baginda diberi gelaran "Al-Fateh" iaitu yang bermaksud "pembuka" atau
"penakluk" lantaran kejayaannya membebaskan Konstantinopel.
Sebaik-baik Raja dan Sebaik-baik Tentera
Pada
kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa
yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya
termasuk dirinya bangun lantas bertanya, "Siapa di antara kita sejak
baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali,
sila duduk!" Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di
antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
Baginda bertanya
lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah
meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk!" Sebahagian daripada
tenteranya duduk.
Kemudian baginda bertanya lagi, "Siapa di
antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat
tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!" Kali ini semuanya duduk,
kecuali Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri. Baginda tidak pernah
meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud sejak
baligh. Baginda sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah
SAW dalam hadisnya itu.
Dinihari kita cukup ketandusan pemimpin
yang berjiwa rakyat serta berkarisma seperti Sultan Muhammad Al-Fateh
untuk mengembalikan ketamadunan dan kegemilanagan ISLAM ini kembali.
Ayuh, kita mulakan langkah menakluk diri seperti mana Sultan Muhammad
Al-Fateh telah berusaha menakluk kota hebat Konstantinopel.
No comments:
Post a Comment