klik

Monday 21 March 2016

Kisah Inspirasi : Ikhlaskah Kita Dalam Beribadat?

Sebuah cerita dan kisah yang boleh dijadikan sebagai satu motivasi kepada kita dalam beribadat.
Mohon disimpan dan dikongsi bersama pembaca semua.

Ada satu kisah, ketika Abdullah bin al-Mubarak memasuki Kufah dalam perjalanannya untuk melaksanakan ibadat haji, dia secara tiba-tiba melihat seorang perempuan sedang memungut bangkai seekor itik di tempat pembuangan sampah.

Dia memberhentikan tujuan perjalanannya, lantas mendekati perempuan itu dan bertanya: “Apakah yang kamu pungut itu bangkai atau sembelihan?”

Perempuan itu menjawab: “Tuan, ini adalah bangkai dan aku pungutnya untuk dibawa pulang untuk keluargaku.”

Mendengar jawapan perempuan itu mendorong Abdullah untuk menerangkan: “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan bangkai. Kenapakah kamu masih mahu memakannya?”

Jawab perempuan itu: “Pergilah kamu dariku. Ketahuilah bahawa aku mempunyai ramai anak dan mereka sudah tidak makan semenjak tiga hari lalu.”

Abdullah berasa kasihan sebaik mendengar kata-kata perempuan itu. Dia meninggalkan perempuan itu buat seketika dan kemudiannya datang kembali menemuinya dengan seekor keldai yang sarat dengan bekalan makanan.

Puas dia mencari di mana perempuan tadi, akhirnya dia menemuinya semula. Kata Abdullah kepada perempuan itu: “Ini semua adalah nafkah buat kamu sekeluarga. Ambillah bawa pulang untuk diri kamu dan anak kamu.”

Peristiwa itu menyebabkan Abdullah terlepas untuk mengerjakan haji. Dia tidak berasa sedih atas kegagalannya mengerjakan haji lalu berangkat pulang ke kampung halamannya.

Tiba di kampung, masyarakat kampungnya menyambut dengan penuh ceria sambil mengucapkan selamat kembali ke kampung halaman.

Abdullah berasa amat pelik dengan sambutan sedemikian rupa sedangkan dia tidak berkesempatan untuk menunaikan haji.

Kata Abdullah kepada penduduk kampungnya: “Sesungguhnya tahun ini aku belum menunaikan haji.”

Penjelasan Abdullah itu menjadikan ada kalangan masyarakat kampung hairan dan seolah-olah menganggap yang dia bergurau dengan mereka.

Kata seorang penduduk kampungnya: “Bukankah kamu yang aku suruh jaga baranganku dan aku mengambilnya kembali ketika kita berada di Arafah?”

Bersuara lagi seorang penduduk: “Bukankah kamu yang memberikan aku air ketika di Tanah Suci?”

Seorang lagi berkata penuh kehairanan: “Bukankah kamu yang membelikan sesuatu untukku sewaktu di Tanah Suci?”

Hal itu membuatkan Abdullah semakin hairan, lalu berkata: “Aku tidak faham apa yang kamu semua katakan ini. Aku sejujurnya tidak menunaikan haji tahun ini.”

Dia kembali ke rumah dengan penuh persoalan. Ketika tidur, dia bermimpi dan mendengar suara berkata kepadanya: “Wahai Abdullah! Sesungguhnya Allah telah menerima sedekahmu. Dia telah mengutuskan satu malaikat yang menyerupaimu dan mewakilimu untuk menunaikan ibadat haji.”

Demikianlah kisah seorang insan soleh yang ikhlas, maka Allah menunjukkan kepadanya ganjaran istimewa sewaktu hidup di dunia lagi. Kisah sebegini sepatutnya menginsafkan kita agar turut mempunyai rasa ikhlas yang sejujur-jujurnya terhadap Allah.


Terima kasih kepada penulis yang berkongsi kisah ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

klik