klik

Tuesday 15 March 2016

11 Nama Lagenda Dunia

LIONEL MESSI (bola sepak)

Bintang Barcelona Lionel Messi mencuri tumpuan apabila memenangi anugerah Ballon d’Or buat kali kelima, selepas membantu kelabnya menjulang treble kedua dalam tempoh enam tahun. Dia menyertai kelompok elit lain yang gah mendominasi sukan dunia.

MUHAMMAD ALI (tinju)

Dikenali sebagai ‘Yang Terhebat’ dan berhak menerimanya. Ali menggegarkan dunia dengan mengejutkan Sonny Liston untuk menjadi juara heavyweight pada 1964 ketika berusia 22 tahun sebelum mendominasi divi­syen berkenaan menerusi kesempurnaan gabungan unik kepantasan dan kekuatan yang dimilikinya. Bagaimanapun selepas lesennya digantung apabila enggan menyertai tentera Amerika Syarikat untuk Perang Vietnam, prestasinya tidak sehebat dulu meskipun menjulang gelaran dua kali selepas itu.

USAIN BOLT (olahraga)

Sebagai manusia terpantas dalam sejarah, Bolt bukan saja memecah rekod dunia malah memadamkannya. Malah catatannya untuk acara 100m (9.58 saat) dan 200m (19.38) masih gagal dipecahkan. Pelari Jamaica itu juga memena­ngi enam pingat emas Olimpik dan sukar digugat dalam tempoh lapan tahun ini. Biarpun prestasinya dikatakan merosot tahun lalu, dia kemudian­nya bangkit untuk memenangi pingat emas kesembilan, ke-10 dan ke-11 dalam Kejuaraan Dunia.

JUAN MANUEL FANGIO (Formula Satu)

Michael Schumacher mungkin menjuarai lebih banyak kejuaraan dunia (tujuh) tetapi pelumba Jerman itu masih gagal menyamai konsistensi Fangio apabila pelumba Argengtina itu menjulang lima kejuaraan dan dua naib juara sepanjang tujuh tahun bersama F1. Apa yang lebih menakjubkan, Fangio cemerlang dengan empat pasukan berbeza, satu rekod yang masih bertahan hingga ke hari ini. Malah sewaktu menjulang trofi itu buat kali terakhir pada 1957, ‘El Maestro’ berusia 46 tahun, bersaing dan berjaya mengatasi pelumba separuh daripada usianya.

ROGER FEDERER (tenis)

Roger Federer, pemain paling berjaya sepanjang zaman memenangi 17 gelaran utama dan biarpun pada usia 34 tahun, dia dilihat masih mampu menambah gelaran. Bagaimanapun tidak dinafikan pemain Switzerland itu berada di era kemuncaknya dari 2004 hing­ga 2007, di mana dia menjulang 10 gelaran utama, beraksi dalam 13 daripada 16 perlawanan akhir sepanjang tempoh itu.

STEFFI GRAF (tenis)

Serena Williams mungkin mendominasi tenis wanita ketika ini namun Steffi Graf memiliki lebih banyak daripada yang dicapai pemain berusia 33 tahun itu, sebelum bersara pada usia 30 tahun. Malah pemain Jerman itu menang 22 gelaran utama (terbanyak sepanjang era Terbuka) dan satu-satunya pemain tenis yang merangkul ‘Golden Slam’ de­ngan memenangi kesemua empat gelaran utama dan Olimpik pada tahun sama.

MICHAEL JORDAN (bola keranjang)

Ramai pemain hebat hadir sebelum Michael Jordan namun tiada seorang pun di antara mereka menjadi fenomena global seperti dilakukan ‘His Airness’ dengan membawa Chicago Bulls menjulang tiga Kejuaraan NBA berturut-turut pada awal 1990-an. Biarpun mencuba nasib dalam besbol, Jordan kemudiannya kembali ke pangkuan Bulls pada 1995 dan menjulang tiga lagi gelaran. Biarpun Jordan menjulang rekod jaringan terbanyak, apa yang sering dilupakan adalah kemampuannya selaku pertahanan dan bakat serba boleh itulah yang menjadikannya pemain bola keranjang paling dominan.

JACK NICKLAUS (golf)

‘The Golden Bear’ memenangi 18 gelaran utama, menjulang gelaran terakhir pada usia 46 tahun. Namun kegemilangan Nicklaus bermula apabila menjulang gelaran utama perdana pada Terbuka AS 1962, kurang daripada setahun selepas bergelar pemain profesional dan meleng­kapkan grand slam ketika berusia 26 tahun. Pencapaian itu dilakukan ketika bersaing hebat dengan seorang lagi pemain Dewan Kemasyhuran, Arnold Palmer.

MICHAEL PHELPS (renang)

Michael Phelps bukan saja memenangi lebih banyak pingat Olimpik daripada mana-mana atlet dalam sejarah (22) malah turut menjulang pingat emas lebih banyak dalam sejarah (18). Perenang AS itu bukan saja mendominasi satu edisi Olimpik tetapi tiga, merangkul lapan pingat emas pada Sukan Olimpik Beijing 2008.

VALENTINO ROSSI (MotoGP)

Biarpun Valentino Rossi gagal menjulang gelaran MotoGP tahun lalu, pelumba berkarisma dari Itali itu kekal sebagai antara pelumba paling berjaya sepanjang zaman, hasil prestasi hebatnya dari 2002 hingga 2009 yang menyaksikannya menjulang enam kejuaraaan. Selain itu, tiada pelumba lain yang memenangi lebih banyak perlumbaan daripadanya (86) dalam kategori 500 cc dan MotoGP berbanding pelumba berusia 36 tahun yang dijang­ka terus cemerlang musim depan.

SACHIN TENDULKAR (kriket)

Sachin Tendulkar ditakdirkan untuk mencapai kegemilangan sebaik membuat penampilan Test (mewakili negara) pertama pada 1989 ketika berusia 16 tahun. Dia mencatat larian lebih banyak dalam One Day Internationals dan Test berbanding pemain lain, selain membawa India menjulang kejuaraan pada Piala Dunia 2011.

Simpan sebagai koleksi. Sumber : HMetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

klik